7 AMALAN ELAK KONFLIK SUAMI ISTERI

Masing-masing mempunyai ego. Baik suami ataupun isteri. Ada sahaja perihal yang menjadi punca pertengkaran atau pergaduhan. Apakah punca berlakunya perselisihan faham ini dan cara menanganinya? Jom ikuti beberapa tip penting untuk anda menghentikannya.

#1 Wujudkan Peraturan

  • Konflik boleh dielakkan dengan menwujudkan peraturan. Wujudkan peraturan seperti masing-masing perlu sabar mendengar tanpa menyampuk, bergaduh tetapi perlu berbaik semula tidak lebih dari tiga jam, tidak bergaduh di hadapan anak dan sebagainya. Peraturan-peraturan kecil ini sekurang-kurangnya menjadi benteng penyelamat daripada berlakunya pergaduhan yang berlarutan.

#2 Pegangan Agama

  • Pegangan agama menentukan akhlak. Kurangnya pegangan agama antara punca berlakunya perselisihan faham. Apabila hati, percakapan mahupun perbuatan disertai dengan niat kurang baik terhadap pasangan, maka akan berlakulah situasi tegang antara suami isteri.
  • Solat berjemaah dan saling mendoakan antara suami isteri akan memberikan kekuatan spiritual dalam hubungan.

#3 Bersikap Matang

  • Ketika berhadapan dengan konflik, pasangan biasanya cepat melatah terutamanya bagi yang baru menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Masalah kecil kadang kala boleh menjadi serius disebabkan sikap yang tidak matang dalam menangani masalah.
  • Setiap insan itu tahu, sebaik sahaja keputusan untuk mendirikan rumah tangga diambil, bererti pasangan itu sudah bersedia untuk sama-sama mencapai matlamat perkahwinan iaitu untuk hidup bahagia bersama pasangan, berkasih sayang dan memberi belas ihsan.

#4 Bersangka Baik

  • Lazimnya, jika berlaku masalah rumah tangga, lelaki tidak cepat emosi. Golongan ini lebih tenang dan tidak terlalu memikirkan masalah yang dihadapi. Walau bagaimanapun, itu bukan menunjukkan yang lelaki tidak mengambil berat. Cuma caranya itu yang membuatkan pasangan sering salah sangka. Oleh yang demikian wahai wanita, janganlah cepat bersangka buruk dengan pasangan. Selidik dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

#5 Sedia Terima Kelemahan

  • Sedia terima kelemahan diri dan pasangan. Tiada yang diciptakan sempurna. Masing-masing mempunyai kekurangan. Misalnya pasangan suka menyepahkan almari atau kuat cemburu. Kita juga mungkin ada kelemahan yang kita tidak sedari. Hal ini jelas menunjukkan manusia itu tidak sempurna. Anggap konflik atau pergaduhan dalam hubungan sebagai asam garam yang perlu dinikmati bersama sebaik sahaja bersetuju untuk sehidup semati.

#6 Saling Bantu-membantu

  • Lakukanlah rukun saling bantu membantu dalam tugas harian di rumah. Masa kini, suami dan isteri sama-sama sibuk. Tidak kira jika isteri bekerja atau suri rumah, ringankan tulang untuk membantu kerja-kerja rumah walau pun tidak diminta. Wanita amat menghargai bantuan daripada suami walau pun kecil. Hatinya juga pasti berbunga-bunga. Tidak akan jatuh ego seorang lelaki hanya dengan membantu menjemur baju di ampaian, melipat pakaian, menyapu lantai atau membasuh pinggan mangkuk di singki.

#7 Jangan Ambil Kesempatan

  • Apabila suami melakukan sesuatu yang tidak disukai isteri, kesilapannya pasti dengan mudah dimaafkan oleh isteri kerana memang sifat semula jadi wanita cepat dan mudah memaafkan. Apatah lagi memaafkan suami tercinta. Jadi, suami janganlah mengambil kesempatan di atas kelembutan isteri. Belajar perbaiki diri pada masa akan datang.

Salam sayang,

Cik wa
Peer Breastfeeding Councellor

Comments Off on 7 AMALAN ELAK KONFLIK SUAMI ISTERI