BENGKAK PAYUDARA DI KALANGAN IBU MENYUSU

Satu daripada tanda penghasilan susu semakin banyak adalah payudara semakin penuh dan membesar. Biasanya terjadi antara minggu pertama ataupun kedua selepas melahirkan anak, tetapi ia juga dapat berlaku selepas itu. Payudara ibu menjadi berat, penuh dan ibu berasa tidak selesa. Ini disebabkan oleh penambahan aliran darah kepada payudara, penambahan susu dan pengumpulan cecair di dalam payudara. Sekiranya bayi melekap dengan betul, menyusu dengan kerap dan mengeluarkan susu dengan efektif, biasanya ia tidak berlarutan.

Tetapi jika payudara penuh dibiarkan dan tidak dikosongkan ia akan berlarutan menjadi bengkak payudara. Ada ibu yang mengalami bengkak pada kedua-dua belah payudara manakala sebahagian ibu mengalami bengkak pada sebelah payudara sahaja. Ada pula yang bengkak di sekitar areola sahaja, manakala ada yang juga terjadi di keseluruhan payudara.

Persoalannya, bagaimana untuk membezakan payudara penuh dengan bengkak susu?

Bengkak susu akan menunjukkan tanda-tanda yang lebih serius. Perbezaannya adalah seperti berikut :

KESAKITAN
Payudara penuh : Ibu tidak berasa sakit yang teruk, cuma sedikit tidak selesa
Bengkak payudara : Sakit yang teruk dan adakalanya memerlukan ubat penahan sakit

SUHU PAYUDARA
Payudara penuh : Payudara berasa suam
Bengkak payudara : Payudara berasa panas

KULIT PAYUDARA
Payudara penuh : Kulit payudara kelihatan normal
Bengkak payudara : Kulit payudara kelihatan tegang, terik dan berkilat.

KEADAAN PAYUDARA
Payudara penuh : Payudara penuh tidak berasa keras dan bayi tidak bermasalah untuk melekap di payudara penuh.
Bengkak payudara : Payudara bengkak dan adakalanya berketul-ketul. Areola pula menjadi keras dan puting menjadi tenggelam. Ia menyukarkan bayi melekap dan mengosongkan payudara dengan berkesan. Oleh itu payudara akan berterusan membengkak walaupun selepas bayi menyusu.

APA YANG MENYEBABKAN BENGKAK PAYUDARA INI TERJADI?

#1 Bayi tertinggal sesi penyusuan

#2 Menyusu mengikut jadual, bukan kehendak bayi. Ini mengurangkan kekerapan bayi menyusu di payudara dan tidak banyak susu dapat dikeluarkan secara efektif.

#3 Bayi diberi selain susu ibu seperti air kosong ataupun susu formula. Bayi berasa kenyang dan enggan menghisap di payudara.

#4 Bayi tidak dapat menghisap dengan berkesan. Terutamanya kepada ibu yang sakit, proses bersalin yang rumit dan kerana diberi ubat-ubat tertentu.

#5 Payudara tidak dikosongkan dengan berkesan semasa memerah susu.

STRATEGI MENGURANGKAN BENGKAK PAYUDARA

Langkah 1 : Tuam sejuk untuk mengurangkan kesakitan. Rendam tuala di dalam ais/air sejuk dan tuam di sekeliling payudara.

Langkah 2 : Tuam panas untuk melembutkan payudara dan melancarkan pengaliran susu. Rendam tuala dalam air suam dan tuam di sekeliling payudara. Ibu boleh juga mandi dengan air suam. Ia dapat memecahkan aliran yang tersumbat dan adakalanya menyebabkan susu terkeluar. Tetapi awas jangan terlalu lama kerana sekiranya dilakukan secara berlebihan, bengkak akan mejadi lebih teruk.

Langkah 3 : Urut secara memutar di sekeliling payudara dan dengan perlahan tolak jari ke arah puting untuk membantu melancarkan pengaliran susu

Langkah 4 : Kosongkan payudara dengan menggunakan teknik marmet

Petua : Masukkan daun kobis di dalam bra selama 20 minit dan buat 3 kali sehari. Kobis berkesan utk meredakan bengkak susu. Mummies dinasihatkan untuk berhenti meletakkan kobis jika bengkak susu mulai reda kerana kobis berpotensi untuk menyebabkan susu merudum.

Semoga apa yang cik wa kongsikan di sini membantu mummies untuk menjalani proses penyusuan dengan lebih tenang dan mudah

Salam sayang,

Cik wa
Peer Breastfeeding Councellor