CORAK PENYUSUAN BAYI


“Anak saya menyusu setiap 2 jam, selepas itu setiap kali menyusu, lama juga. Kemudian tidur pun sekejap-sekejap sahaja..”

“Anak saya pula menyusu sekejap sahaja. Apabila sudah kenyang, dia terus tertidur sehingga 2-3 jam, selepas itu baru dia terjaga..”

Sebenarnya yang mana satu corak penyusuan yang betul dan normal?

Ia merupakan sesuatu yang subjektif apabila berkaitan tentang corak penyusuan bayi. Sekiranya seseorang bertanya apakah corak penyusuan normal yg khusus untuknya? Tiada jawapan yang mudah dan ringkas bagi menjawabnya. Penyusuan susu ibu banyak bergantung kepada keperluan dan kemahuan bayi. Manusia termasuk bayi dijadikan berbeza antara satu sama lain.

CORAK 1
Ada bayi menyusu dengan sangat efisyen. Letak sahaja di payudara bayi terus menyusu dengan cepat dan apabila sudah kenyang, dia tertidur dengan sendirinya. Mungkin dia hanya mengambil 5-10 minit bagi setiap penyusuannya.

CORAK 2
Ada pula yang mengambil masanya sendiri bagi menghabiskan penyusuan. Penyusuannya diselang selikan dengan tidur yang sekejap. Apabila ibu cuba melepaskan payudaranya, bayi kembali menyusu. Bayi baru lahir biasanya menunjukkkan corak sebegini.

CORAK 3
Corak penyusuan bayi juga berubah selari dengan peningkatan umur. Apabila bayi berumur beberapa bulan, mereka lebih senang tertarik dengan persekitarannya dan hanya menyusu sekejap-sekejap sahaja. Mereka merangkak ke tempat lain kemudian berpatah balik semula kepada ibu untuk menyusu semula.

CORAK 4
Kajian menunjukkan ibu yang mempunyai kapasiti simpanan susu yang agak kecil, menyusukan anak dengan lebih kerap berbanding ibu yang mampu menyimpan jumlah susu yang banyak (kapasiti besar). Tetapi kedua-duanya mampu menghasilkan susu yang secukupnya untuk anak mereka.

Yang penting, raikanlah perbezaan anak-anak kita. Mungkin juga corak penyusuan anak pertama jauh berbeza dengan anak berikutnya. Begitu juga corak penyusuan normal bagi seorang ibu tidak boleh dipraktikkan oleh ibu yang lain. Selain ibu menyusu bayi mengikut keperluan bayi dan bayi menunjukkan tanda-tanda menerima susu secukupnya, apa sahaj corak yang ditunjukkan oleh bayi kita adalah yang terbaik untuk mereka.