KEPENTINGAN PENYUSUAN PADA WAKTU MALAM

“Letihnya bila baby kuat menyusu waktu malam, kekadang rasa mcm zombie pun ada..”

Pastinya ibu hadapi situasi yg sama kan? Memang letih dibuatnya, kerana bayi menyusu mengikut keperluan mereka tanpa mengira waktu siang atau malam. Lebih-lebih lagi pada awal kelahiran. Penyusuan malam mungkin menjadi perkara yang meletihkan terutamanya untuk ibu tapi sekiranya ibu bapa memahami keperluan bayi terutama semasa 2-3 bulan pertama dan menyediakan minda positif bagi menghadapinya, ianya tidak akan dilihat sebagai bebanan. Ini kerana, bayi yang baru lahir jarang tidur lena sehingga pagi kerana mereka perlu kerap menyusu agar mendapat nutrisi yang secukupnya bagi membantu tumbesarannya.

Sangat penting untuk ibu mengekalkan penyusuan pada waktu malam kerana terdapat banyak kebaikannya :

  • Kajian menunjukkan bayi mendapatkan 25% daripada jumlah susunya dalam sehari pada waktu malam
  • Pada waktu malam, hormon prolaktin dan kandungan lemak susu lebih tinggi daripada waktu siang
  • Kerap menyusu pada waktu malam, bayi dapat membesar dengan cepat dan ibu menghasilkan lebih banyak susu
  • Bayi juga memberi isyarat kepada ibu bapa ataupun orang sekeliling supaya mengambil peduli dengan apa yang berlaku kepadanya
  • Ia menanamkan rasa selamat dan yakin diri dalam jiwa bayi kerana ada orang yang memenuhi keperluannya
  • Memberi respon kepada keperluan bayi tidak bermakna ibu bapa memanjakannya. Penyusuan pada waktu malam adalah salah satu cara berhubung antara bayi dan dan ibu.
  • Bayi yang kerap berjaga malam dapat mengelakkan Sudden Death Infant Syndrome (SIDS)
  • Bayi yang lebih kerap menyusu pada waktu siang dan malam mengikut kehendaknya lebih tenang dan ceria pada siang hari.

Penyusuan pada waktu malam lebih mudah dijayakan jika ibu tidur bersama bayi. Ibu boleh menyusukan bayi dalam keadaan mengiring tanpa perlu bangun atau mengangkat bayi. Posisi ini dapat memberi kerehatan kepada ibu dan anak.  Corak pernafasan, suhu badan dan denyutan nadi ibu berada dalam keadaan yang lebih kurang sama. Ia membantu dan mempengaruhi bayi dalam proses tidurnya. Mengikut kajian, ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif mendapat tidur selama 20-40 minit lebih lama berbanding ibu yang memberi susu formula.

Pada awalnya, bayi mungkin kerap terjaga bagi menyusu pada waktu malam, tetapi apabila umur bayi meningkat, kekerapannya berkurang. Jangan berasa bimbang dengan keadaan ini. Tanpa disedari, bayi kita cepat membesar dan tidurnya pula semakin nyenyak. Ibu pula tidak perlu kerap bangun malam bagi menyusukan bayi.

Selamat menyusu dengan cinta!

Salam sayang,
Cik Wa
Peer Breastfeeding Councellor