SUSU TIDAK CUKUP UNTUK BAYI? CUBA 7 TIPS INI UTK HASILKAN LEBIH BANYAK SUSU

“Awak masih menyusukan anak? bagusnya..saya ni mampu menyusukan anak sampai 4 bulan jer. Anak saya selalu meragam tak cukup susu sebab saya ni jenis ibu yg tak banyak susu..”

Seringkali ibu-ibu berasa mereka seperti tidak cukup susu lebih lebih lagi apabila anak meragam. Kebanyakan masalah susu tidak cukup berpunca daripada pengurusan penyusuan yang tidak optimum. Tanda masalah ini adalah susu menjadi semakin berkurang walaupun penghasilan susu mencukupi bagi beberapa bulan pertama.

Sebelum ibu mendiagnos diri sebagai tidak cukup susu dan berserah diri kepada susu formula, ikhtiar dahulu dengan mencuba 7 tips di bawah :

#1 PERHATIKAN CARA PENYUSUAN
Betulkan posisi dan lekapan sekiranya bayi tidak melekap dengan betul. Ia penting bagi mengeluarkan susu dengan lebih efisyen. Mungkin ini shj yang perlu diperbetulkan oleh ibu bagi mengembalikan semula aliran susunya.

#2 MENYUSU DENGAN LEBIH KERAP
Tidak menyusukan anak dengan kerap adalah salah satu punca utama penghasilan susu berkurangan. Jangan sesekali melengahkan masa menyusu jika bayi menunjukkan tanda mahu minum susu. Sebolehnya jangan melebihi 2 hingga 3 jam antara tempoh penyusuan. Pada waktu malam pula jangan melebihi 4 hingga 5 jam. Jika ibu bekerja atau berjauhan dengan bayi, pam susu setiap 2-3 jam sekali.

#3 MENGOSONGKAN PAYUDARA ANTARA SESI PENYUSUAN
Mengosongkan payudara selepas sesi penyusuan adalah salah satu cara berkesan bagi menambahkan penghasilan susu. Memerah selepas sejam penyusuan dapat mengumpulkan susu lebih banyak kerana penghasilan susu berada pada tahap tertinggi pada waktu itu. Jika mummies konsisten dgn teknik ini, penghasilan susu makin bertambah untuk jangka masa yang panjang.

#4 MENGURUT PAYUDARA
Mengurut payudara dapat memberikan stimulasi yang hebat kepada payudara untuk menghasilkan susu.

#5 PEMAMPATAN PAYUDARA (BREAST COMPRESSION) 
Apabila hisapan bayi sudah perlahan ataupun tiada susu yang keluar semasa memerah, tekanan perlahan pada payudara perlu dilakukan. Biasanya bayi menghisap dengan lebih laju dan menelan susu yang dikeluarkan. Teruskan tekanan ini sehingga bayi selesai menelan ataupun pancutan susu berhenti. Teknik ini dapat digunakan beberapa kali dalam satu sesi penyusuan atau semasa mengepam susu.

#6 SENTUHAN DAN TUAMAN SUAMI
Sentuhan rangsangan pada puting susu ibu dapat menggalakkan refleksi ejeksi susu dan lebih banyak susu dapat dikeluarkan daripada payudara. Tuaman panas pada payudara juga sangat membantu. Gunakan tuala yg direndam dalam air suam dan tuam sekeliling payudara sebelum menyusukan anak atau sebelum mengepam.

#7 BERDOA DAN BERSEDEKAH
Penghasilan susu ibu berkaitan dengan rezeki ibu. Allah jua menjadi punca rezeki. Berdoalah agara Allah terus memberikan rezeki dalam bentuk penghasilan susu yang tidak putus-putus. Banyakkan bersedekah kepada mereka yang memerlukan, kerana sesungguhnya dengan bersedekah pastinya memurahkan rezeki kita.

 

Semoga dengan 7 tips yang dikongsikan ini dapat membantu ibu-ibu untuk berjaya menyusukan bayi sehingga 2 tahun. InshaaAllah.
Selamat berjuang ibu-ibu!